RSS

Dua sahabat di dalam al-Kahfi

31 Mar

 

(merujuk kepada ayat 32 hingga ayat 44, surah al-Kahfi)

Di dalam surah al-Kahfi, terdapat empat jenis cerita yang berfungsi untuk membetulkan pandangan kita pada kehidupan. Salah satu daripada kisah yang diceritakan di dalam surah ini ialah kisah dua orang sahabat, seorang lelaki kaya dan seorang lelaki beriman.

Lelaki kaya digambarkan sebagai mempunyai dua buah kebun yang sangat luas, dipenuhi dengan tanaman pokok-pokok anggur, pohon-pohon tamar dan pelbagai tanaman yang ditanam di antara pohon anggur dan tamar. Kedua-dua kebun tersebut begitu subur, tidak pernah berkurangan hasilnya. Di antara kedua-dua kebun tersebut mengalir sebatang sungai mengairi pohon-pohon di kebun tersebut.

Bukan itu sahaja harta si lelaki kaya. Banyak lagi harta-harta yang lain yang menjadikan hidupnya begitu mewah. Suatu hari, ketika mereka berbual, lelaki kaya berkata kepada sahabatnya, “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan aku lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”. Begitu bongkak dan angkuh sekali lelaki kaya membanggakan kemewahan hidupnya. Tidak dia menyedari dia telah berlaku zalim pada dirinya sendiri dengan menjadi kufur kepada Allah.

Diajak sahabatnya itu masuk ke kebunnya seraya dia berkata, “Aku tidak fikir kebun ini akan binasa untuk selama-lamanya. Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik dari ini”.

Lelaki beriman tidak berpaling dari sahabatnya walaupun dirinya telah diperlekehkan. Angkuh benar sahabatnya. Berkata dia kepada lelaki kaya, “Patutkah engkau kufur kepada Allah yang menciptakan engkau daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian Dia membentuk engkau dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri yakin dengan sepenuhnya bahawa Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku”. Sambungnya lagi, “Sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkatalah: Ma Sha’ Allah! La quwwata illa billah (tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah). Kalau engkau menganggap diriku sangat kurang daripada segi harta dan anak, berbanding dengan engkau, maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan kepadaku sesuatu yang lebih baik daripada kebunmu, dan aku bimbang Dia akan menimpakannya (kebun lelaki kaya) dengan bala bencana dari langit, sehingga kebunmu itu menjadi tanah yang licin dan tandus. Ataupun air yang mengairi kebunmu itu menjadi kering ditelan bumi, sehingga engkau tidak dapat mencarinya lagi.”

Maka binasalah kebun lelaki kaya. Menyesal lelaki kaya kerana segala bentuk pelaburan terhadap kebunnya hilang seperti debu. Kering kontang kebunnya, tiada lagi air yang menyuburkan kebunnya dulu. Runtuh para-para tanamannya. Lalu dia berkata, “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!” Menyesal kemudian tiada berguna. Tiada suatu golongan pun yang boleh membantunya selain daripada Allah; dan dia pula tidak mampu membela dirinya sendiri.

Pada saat yang demikian, kekuasaan memberi pertolongan hanya pada Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya. Dialah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan kepada hamba-hambaNya yang taat.

Semoga kita dapat mengambil iktibar dari kisah yang diceritakan di dalam surah ini untuk dijadikan panduan hidup kita. Jauhi sifat angkuh dan sombong dengan segala kurniaanNya kerana ia hanya bersifat sementara. Berilah teguran yang baik untuk seorang sahabat yang mengkufuri nikmat Tuhannya kerana bimbangkan balasan Tuhan yang pastinya datang. Wallahu ‘alam bissawab.

 

(ringkasan daripada kuliah Ustaz Hasrizal)  

 
Leave a comment

Posted by on March 31, 2010 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: